
Alhamdulilah Malaysia menang..Seronok sangat Nanie rasa..Enjoy tengok bola dengan anak2 kat rumah...
Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 selepas menumpaskan Indonesia 4-2 secara agregat. Indonesia berjaya menumpaskan Malaysia 2-1 di Stadium Gelora Bung Karno namun ianya tidak cukup buat Sang Garuda menyekat kelebihan tiga gol Harimau Malaya.
Penjaga gol muda Malaysia, Khairul Fahmi harus diberi pujian yang tinggi selepas menyelamatkan sepakan penalti Firman pada minit ke-18. Beliau turut perlu dinobatkan sebagai wira Harimau dengan menafikan beberapa percubaan bertali arus tuan rumah sepanjang babak pertama.
Malaysia yang mencatakan kemenangan 3-0 di Bukit Jalil berjaya melebarkan kedudukan menerusi jaringan Safee Sali pada minit ke-53. Bagaimanapun kealpaan barisan pertahanan Malaysia membenarkan Nasuha menyamakan kedudukan selepas merembat deras bola tampanan Fahmi.
Indonesia ternyata tidak mudah mengalah dengan berusaha untuk mencari jaringan bagi merapatkan jurang agregat dan usaha tersebut berhasil apabila Muslim tertanduk masuk bola sepakan Muhammad Ridwan pada minit ke-88 bagi membakar semangat Garuda.
Akhirnya wisel keramat ditiup sekali gus memastikan Malaysia dinobatkan sebagai juara Asia Tenggara yang baru. Tahniah Malaysia!
Sementara itu, penyerang Malaysia, Safee Sali dianugerahkan penjaring terbanyak kejohanan dengan lima jaringan manakala ketua pasukan Indonesia, Firman Utina dipilih sebagai pemain paling bernilai bagi kejohanan Piala AFF Suzuki 2010.
Sumber :http://bolasepak.com
No comments:
Post a Comment